Ku Tangisi Pemergian Ini

My side stories

Sebulan sudah bonda tercinta pergi buat selama-lamanya. Di satu sudut kamar hati ini, terasa kosong dan sepi. Dan kini ku sedari, rupa-rupanya ruang kamar itu tak akan mampu diganti dan diisi oleh keceriaan isteri dan anak-anak, saudara mara mahupun insan sekeliling. Ya, sekali bonda ‘kosongkan’, maka kosonglah ia selama-lamanya.

Tak ku duga, ucapan “Happy birthday” kepada ku tempoh hari adalah perbualan ku yang terakhir bersama bonda. Dua hari kemudian, bonda pergi menyahut seruan Ilahi. Andai ku tahu itulah perbualan ku yang terakhir, pasti aku akan berbual panjang sepanjang-panjangnya bersama bonda.

Hati terus merindu untuk berbual bersama bonda sebagaimana kebiasaan di setiap hujung minggu. Hati begitu rindu untuk mendengar suara bonda. Hati begitu rindu untuk mendengar cerita-cerita bonda. Hati begitu rindu untuk mendengar nasihat-nasihat bonda. Hati begitu rindu untuk mendengar teguran-teguran bonda. Namun yang pastinya kini, hujung minggu ku sudah tak seperti dulu lagi.

Hati semakin menangis apabila mengenangkan pengorbanan bonda dalam mengasuh dan mendidik ku dari dalam kandungan hinggalah aku berada di tempat ku sekarang. Bonda tak pernah mengeluh dalam membesarkan kami lima beradik. Keperluan kami bonda penuhi semampu mungkin. Dalam kesusahan hidup keluarga kita, bonda tetap tenang dan menenangkan, tak merungut, sampaikan aku tak tahu dan tak merasa kita sebenarnya susah, sehinggalah aku mula bekerja dan mengurus wang sendiri. Dalam kesusahan hidup, ayah dan bonda tetap memastikan kami menjejakkan kaki ke menara gading.

Ketika ada pelajar ku berkata yang tulisan ku kemas, mereka tak tahu bondalah yang melatih ku untuk menulis dengan kemas sejak kecil lagi. Ketika orang berkata aku menepati masa, mereka tak tahu yang bonda adalah suri tauladan ku dalam mengurus masa, bonda tak akan lewat bila sudah berjanji. Ketika orang berkata meja ku selalu kemas, mereka tak tahu bondalah yang mendidik ku sejak kecil untuk mengemas meja, mengemas tempat tidur, mengemas almari baju dan membasuh sendiri pinggan setelah makan. Wahai bonda, ketahuilah, sehingga kini tempat tidur ku tetap kemas, almari baju ku sentiasa kemas dan aku masih membasuh sendiri pinggan makan ku tanpa minta dibasuh oleh anak atau isteri.

Ramadhan bakal menjelang, pastinya tak akan ceria lagi seperti Ramadhan dulu-dulu. Syawal bakal menyusul, pastinya sudah tidak akan ada lagi tangan orang tua … ayah dan bonda untuk ku kucup. Sudah tidak ada lagi tubuh orang tua … ayah dan bonda untuk ku peluk erat. Menyedarkan aku hakikat hidup, bahawa kini akulah yang menjadi orang tua yang bakal menyusul ayah dan bonda di sana kelak.

Jika dulu pada setiap kali cuti sekolah dan hari raya, pasti aku, isteri dan anak-anak ceria merancang untuk balik kampung. Kini tanpa ayah dan bonda, Labuan seperti sudah hilang tarikan dan serinya di hati ku. Kepada yang masih ada orang tua, lakukanlah sewajarnya untuk mereka sekalipun terasa susah kerana akan sampai suatu ketika kita akan tersedar yang susah itu sebenarnya tak susah jika dilihat dan ‘dirasa’ dari sudut dimensi yang berbeza.

Ya, ku sedari kehidupan di sini perlu diteruskan sekalipun melangkah dengan tangisan. Untuk ayah dan bonda, kepada Mu Tuhan aku memohon :

Wahai Tuhan yang Maha Pengampun, ampunilah dosa dan kesalahan ayah dan bonda ku. Wahai Tuhan yang Maha Pengasih, kasihanilah ayah dan bonda ku sebagaimana keduanya telah mengasihi aku sejak aku kecil lagi. Wahai Tuhan yang Maha Lembut, berlembutlah dengan ayah dan bonda ku dalam kehidupan mereka di Alam Akhirat.  Lapang dan terangilah kuburan mereka dan jadikanlah kuburan mereka satu dari taman-taman syurga.

Sungguh benar firmanMu ya Allah :

Maha suci Allah yang di tanganNyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas sesuatu.  Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.  Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Al-Mulk : 1-2)

Posted on April 21, 2015, in My Side Stories. Bookmark the permalink. 6 Comments.

  1. Takziah, cikgu. Semoga ibu cikgu ditempatkan bersama insan-insan yang beriman.

  2. Takziah cikgu, semoga ibu cikgu sentiasa bahagia bersama-sama insan yang beriman.

  3. najihah farizsha

    takziah cikgu. dan selamat hari raya cikgu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: