Keputusan UPU : Antara Suka Dan …

My side stories :

Ketika mendengar khabar keputusan UPU bakal diumumkan pada 10 Mei 2014 yang lalu, saya seperti antara percaya dan tak percaya. Keraguan saya berpunca daripada beberapa sebab. Pertama, 10 Mei adalah hari Sabtu, hari cuti bagi kakitangan awam. Kedua, sudah ada beberapa spekulasi sebelum ini tentang tarikh keputusan UPU dan ternyata semuanya tidak tepat. Ketiga, saya sendiri tidak menyemak berita terkini dari laman sesawang UPU. Akhirnya ternyata benar, keputusan UPU disiarkan pada Sabtu, 10 Mei 2014.

Ceria dan gembiralah sebahagian pelajar yang mendapat keputusan UPU. Ada yang gembira kerana mendapat kursus yang diharapkan sekalipun bukan di IPTA pilihan utama. Ada pula yang gembira kerana mendapat tempat di IPTA yang diharapkan sekalipun kursus yang ditawarkan melencong sedikit dari pilihan utama. Masing-masing ada sebab tersendiri untuk merasa gembira.

Ayah dan ibu juga tumpang gembira. Ketika ditanya oleh rakan-rakan mereka, dengan senyuman menguntum di bibir mereka memberitahu yang anak dapat di IPT sekian. Namun dalam kegembiraan itu, bagi sesetengah ibu dan ayah, sudah ada perkara lain yang mula difikirkan …… Eemmm!

Fikiran ibu dan ayah mula melangkah jauh ke hadapan, melangkah dan langkahan-langkahan yang pantas. Si ibu mula terbayang kehidupan anak yang bakal meninggalkan rumah, jauh dari pandangan mata. Terfikir akan keselamatan anaknya, sakit demamnya siapa nak jaga, makan minumnya siapa nak urus. Semuanya dibimbangi oleh si ibu. Dan kebimbangan akan lebih terasa jika inilah anak perempuan pertama yang bakal meninggalkan rumah. Perasaan lumrah dari seorang ibu…Satu petunjuk yang si ibu amat menyayangi si anak.

Si ayah juga bimbang, tetapi mungkin tak sebimbang si ibu. Perbezaannya ialah, dalam kebimbangan, si ayah berusaha meyakinkan diri yang anaknya akan selamat, anak mampu mengurus diri, anak mampu menjaga diri. Cuma satu persoalan lain yang mula difikirkan oleh sesetengah ayah ialah perbelanjaan ke IPT. Perlu menyediakan tambang kapal terbang termasuk tambang ibu dan ayah yang turut menghantar, bayaran penginapan hotel, bayaran yuran pengajian, perbelanjaan menyediakan keperluan asas anak sebelum ke IPT dan beberapa perbelanjaan kecil yang lain. Ya, perbelanjaan awal yang boleh mencecah sekitar RM 5000, jika anak mendapat asasi/diploma di Semenanjung. Teringat saya ketika anak-anak saya mula melangkah ke matrikulasi, asasi dan ijazah pertama, … sebahagian wang pelaburan saham dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan awal ini. Si ayah akan berusaha mencari wang dan tak kisah mengeluarkan wang untuk semuanya ini dalam batas kemampuannya demi memastikan anak dapat menyambung pelajaran, demi kegembiraan anak.

Ramai rakan-rakan seusia saya, anak sulung atau anak kedua mereka baru masuk matrikulasi, asasi atau IPT tahun ini. Anak sulung saya sudah mula bekerja, anak kedua di tahun akhir di IPT dan anak ketiga pula sudah berada di tahun pertama di IPT. Semuanya kerana saya kahwin awal, berkahwin dalam usia yang muda … 21 tahun 11 bulan, hehe. Kerana sudah ada pengalaman anak ke IPT, ramailah rakan-rakan yang anak mereka baru ke IPT tahun ini bertanya saya. Berceritalah saya, bercerita dan terus bercerita … berkongsi apa yang dapat dimanfaatkan bersama.

Kepada ibu … relakanlah pemergian anak. Beranikanlah diri untuk melepaskan dia yang disayang. Sudah sampai masanya dia belajar lebih berdikari, belajar membuat keputusan, belajar mengurus diri. Ya, sekali-sekala dia tersilap dalam membuat keputusan, sekali-sekala dia tersilap dalam mengurus diri, tetapi kesilapan-kesilapan itulah yang mematangkannya, menjadikannya lebih dewasa. Berikan dia semangat untuk terus bangun dan terus melangkah. Bukankah selama ini kita juga banyak belajar dari kesilapan-kesilapan yang kita buat? Yang penting kita iringi perjuangannya menuntut ilmu ini dengan kata nasihat yang baik dan doa yang tak putus-putus untuknya🙂.

Kepada ayah … usah berkeluh kesah dalam membiayai pembelajaran anak. Mereka telah berusaha mendapatkan keputusan yang baik agar dapat masuk ke IPT yang mereka sukai. Sokong dan ceriakanlah mereka dengan tawaran ke IPT yang telah mereka terima … tawaran yang mereka peroleh sekali seumur hidup. Ikhtiarkanlah membiayai mereka mengikut yang terdaya oleh kita. Ya, memang kadang-kadang terasa seperti ‘sudah habis daya’ dalam soal ini. Pernah seketika, tahun lalu, tiga orang anak saya serentak berada di IPT. Wang pinjaman PTPTN pula diberi pada kadar yang tak mencukupi untuk perbelanjaan bulanan. Untuk yang berpendapatan sederhana seperti saya, memang kita kena buat budget bulanan betul-betul. InsyaAllah, wang boleh dicari. Dan insyaAllah dengan niat yang betul keranaNya, kadang-kadang ada saja wang masuk dari jalan yang tak disangka-sangka di saat kita sangat memerlukannya. Agak aneh … semakin kita memberi, semakin banyak pula yang kita terima.

Kepada anak-anak … persembahkanlah yang terbaik dari anda bermula saat anda menjejakkan kaki di IPT. Ya, anda telah bersusah payah untuk ke sana, tetapi ibu bapa anda sama ada anda sedar atau tidak juga bersusah payah memastikan anda dapat sampai secara fizikal di sana. Ceriakanlah mereka dengan kesungguhan anda dalam pembelajaran. Walau bagaimana sibuk sekalipun anda nanti, hubungilah mereka terutamanya ibu anda setidak-tidaknya sekali seminggu. Mereka rindu mendengar suara anda, mendengar khabar anda. Kalau tak ada kredit buat call, buat saja miss call. InsyaAllah ibu dan ayah akan berusaha membuat return call segera apabila melihat ada miss call dari anda (ini taktik yang digunakan oleh salah seorang anak saya, hehe). Anda perlukan sekitar RM400 sebulan untuk hidup secara sederhana di IPT di Semenanjung. Bahagikan elaun/pinjaman/biasiswa yang anda terima ikut bulan. Maklumkan jika tak cukup RM400 sebulan supaya ayah dapat mengirim selebihnya. Kadang-kadang ayah tak tahu berapa lagi yang perlu dikirim. Andalah yang maklumkan kepada mereka.

Hujung bulan Mei bermulalah kemasukan ke IPT. Anak-anak mula berangkat meninggalkan rumah. Kepada ibu dan ayah, kita iringi mereka dengan doa dan kata-kata semangat. Kepada anak-anak, bersungguh-sungguhlah dalam berjuang dan jangan mudah menyerah kalah. Ingat Allah selalu sama ada di waktu senang atau di waktu sukar. InsyaAllah Dia akan tunjukkan jalan keluar dari kesulitan.

Semoga urusan dipermudahkan dan diberikan olehNya yang terbaik untuk kita🙂

Posted on May 23, 2014, in My Side Stories. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: