“Cikguuu!…..untuk kali terakhir…..”

My side stories :

terima kasih cikgu

Sejak awal tahun ini ketika saya melangkah keluar setelah selesai mengajar di sebuah kelas tingkatan lima, beberapa orang pelajar akan meluru ke hadapan menghulur tangan untuk bersalam. Fenomena yang sama berlaku kepada sebuah kelas tingkatan empat. Sebaik saja saya keluar dari pintu hadapan kelas, beberapa orang pelajar kelas tersebut akan keluar dari pintu belakang berusaha mendapatkan saya untuk bersalam.

Pada awalnya saya melihat pekara ini sebagai perkara biasa yang akan berlaku sekali dua saja. Tetapi apabila pelajar-pelajar yang sama melakukannya secara konsisten, persoalan “Kenapa mereka buat begitu?” mula bermain di minda saya. Mesti ada sesuatu yang mendorong mereka berbuat begitu.

Saya kira persoalannya terungkai apabila pada suatu ketika, ketika bersalam dengan pelajar, salah seorang daripada mereka berkata : “Cikgu, saya minta maaf, minta halalkan apa yang cikgu ajar.” Emm! Ini satu ucapan yang lazimnya hanya saya dengar ketika pelajar sudah hampir menduduki peperiksaan SPM. Saya mengangguk sambil memberikan senyuman, berlalu pergi tanpa sepatah kata.

Mungkin juga bersalam ini menggantikan ucapan terima kasih. Pada awal tahun ini, saya telah memberikan arahan kepada semua kelas yang saya masuk supaya pelajar jangan bangun berdiri dan memberi ucapan terima kasih ketika saya melangkah keluar kelas. Ya, arahan khusus untuk saya, bukan untuk guru lain. Arahan yang sama juga diberi kepada kelas-kelas saya tahun 2013 yang lalu, tetapi bermula lewat di pertengahan tahun. Suka tak suka arahan saya dipatuhi pelajar. Siapalah yang berani melanggar arahan cikgu Rainul. Jelingan saja sudah mampu mendiamkan dan mengkakukan pelajar. Huh!

Sebahagian pelajar okey saja dengan arahan ini. Tetapi untuk segelintir yang lain, merasa tak selesa dengannya. Tanpa berdiri tetapi dengan suara yang sayup-sayup kedengaran tetap mengucapkan “Terima kasih cikgu” ketika saya melangkah keluar kelas. Ya, rasa tak selesa apabila tak mengucap terima kasih kepada guru. Menyalahi kebiasaan yang sudah dilatih sejak sekolah rendah lagi.

Teringat saya akan ketua kelas 5 Aman 2013. Selesai pengajaran saya yang terakhir, masuk kelas kali yang terakhir sebelum peperiksaan SPM, ketika saya mula melangkah keluar, tiba-tiba dia bangun dan berkata : “Cikguuu! …untuk kali terakhir…” Diam seketika. Saya menanti dalam kekeliruan. Lalu kemudiannya dia bersuara “Terima kasih, cikgu.” Disusuli dengan ucapan yang sama dari pelajar-pelajar lain. Ucapan yang sudah berbulan saya tak dengar dari kelas ini atas arahan saya sendiri. Saya toleh ketua kelas. Dia menahan air mata. Terasa sayu di hati saya. Bukan kerana mendengar ucapan terima kasih, tetapi kerana air mata pelajar. Air mata yang mempunyai seribu satu makna pada saya. Dan sememangnya saya tak pernah ‘menang’ dengan air mata pelajar saya. Saya berusaha mengukir senyum, menunjukkan isyarat ‘good’ ibu jari lalu berjalan pergi dengan emosi yang sudah bergoncang. Ucapan “Cikguuu!…untuk kali terakhir” mendiamkan saya dari bersuara.

Saya sama sekali tidak bermaksud mendidik para pelajar saya supaya tidak menghargai guru. Kerana itu saya mengingatkan pelajar arahan itu khusus untuk saya, bukan guru lain. Bagi saya secara peribadi, cukuplah kehadiran saya ke sesebuah kelas dirai dengan ucapan salam. Namun saya lebih suka pemergian saya biarlah ‘tidak dipeduli’. Saya mengajar bukan kerana mahu mendengar ucapan terima kasih. Cukuplah ganjaran dari Allah untuk saya dan itu sudah cukup menceriakan saya. Bantu saya untuk melatih ikhlas keranaNya😉

Posted on April 12, 2014, in My Side Stories. Bookmark the permalink. 8 Comments.

  1. Cikgu Rainuuuuuuuuuuuuuuul kami semua rindu cikguuuuuu!! 😭😭😭

    • Izzat … cikgu juga rindu kamu semua. Jemputlah datang rumah. Ajak kawan-kawan sekali. Kita sembang-sembang sambil minum petang sebelum semua sambung belajar nanti. Minta si Wawa organize, dia cekap tu dalam hal-hal macam ni, hehe. Semoga Izzat ceria selalu🙂

      • hahaha yessss sir!! nanti kami bincang. sabtu atau ahad la kan? hehehe thank you sir. moga sir pun ceria selalu and jangan selalu stress😀

  2. Siti Nurfathini

    Assalmualaikum. Cikgu!!!!!! Kami rindu cikgu!!!!😥😥

    • Wa’alaikum salam, Fathini🙂. Ya, Fathini, cikgu juga rindu pada kamu semua. Peristiwa-peristiwa bersama kamu semua sepanjang 2012-2013 masih segar dalam ingatan cikgu. Tetapi itulah hakikat kehidupan seperti yang Fathini pernah sebut … ‘pertemuan dan perpisahan adat kehidupan’ … we have to keep moving … and thank you so much for those sweet memories🙂. Selepas ini Fathini dan kawan-kawan akan jauh di mata cikgu, tetapi percayalah kamu semua tetap dekat di hati cikgu. Ya, jauh di mata tetapi dekat di hati🙂. Jemputlah ke rumah dengan kawan-kawan, boleh kita sembang-sembang dan nasihat menasihat satu sama lain, hehe. Jangan tunggu raya saja baru datang ya…Semoga yang terbaik sentiasa bersama Fathini🙂

      • Siti Nurfathini

        hmm. ya cikgu, tu mmg betul:/ I’ll keep moving sir!😀 yaa cikgu, kami pn bgitu. walau cikgu jauh d mata tp sntiasa dkt d hati kami. :’) InsyaAllah cikgu. kami skrg tengah discuss lah ni psl mau mlawat ke rumah cikgu. InsyaAllah kalau jadi kami akn inform kat cikgu. cikgu jgn risau🙂 Cikgu pn all the best n keep smiling!🙂

  3. Assalamualaikum. Cikguuuuu~ haihh baru jumpa cikgu hari tu tapi rindu sudah sama cikgu balik!😦 InsyaAllah, nanti kami serbu rumah cikgu hehehehe Cikgu pun jaga diri baik-baik. Doa dan ingatan kami sentiasa ada bersama cikgu. Thank you for all the beautiful and sweet memories sir!🙂

    • Wa’alaikum salam, Wawa🙂. Ya, Wawa, fitrah kita sebagai manusia … apabila suatu kebiasaan dan lazim yang kita senangi tiba-tiba sirna, rindu pasti melanda. Cikgu juga rindu pada kamu semua. Ya, serbu saja rumah cikgu, hehe. Memang biasa kena serbu juga😀. Cikgu suka kalau ada orang datang rumah. Maklumkan saja nanti bila-bila mau datang supaya cikgu dapat bersedia dengan ‘paluan kompang’, hehe. Semoga kegembiraan dan kebaikan sentiasa bersama Wawa🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: