Tips Lulus Matematik Tambahan

Assalamu’alaikum dan selamat sejahtera para pelajar semua.

Berikut sedikit tips untuk lulus matematik tambahan🙂

Tips Lulus Kertas 1 :

1. Kertas 1 terdiri daripada 25 soalan. Setiap soalan diberi 2 – 4 markah. Nilai markah menunjukkan panjang atau pendek langkah penyelesaian. Maka jawab mengikut nilai markah.

2. Empat bab berikut tidak pernah keluar dalam kertas 1, iaitu :
a. Penyelesaian segi tiga (tingkatan 4)
b. Nombor indeks (tingkatan 4)
c. Gerakan pada garis lurus (tingkatan 5)
d. Pengaturcaraan linear (tingkatan 5)

3. Corak soalan kertas 1 kelihatan sama saja. Soalan 1 & 2 biasanya soalan fungsi, kemudian diikuti dengan soalan persamaan kuadratik, kemudian disusuli soalan fungsi kuadratik, soalan logaritma, soalan janjang dan seterusnya. Soalan akhir biasa dari bab taburan kebarangkalian. Wujud corak khusus. Manfaatkan corak soalan ini.

4. Lazimnya satu soalan keluar dari setiap bab, kecuali bab-bab berikut lazimnya lebih daripada satu soalan :
a. Fungsi (2 – 3 soalan), lazimnya 3 soalan.
b. Fungsi kuadratik (2 soalan).
c. Indeks dan logaritma (2 – 3 soalan).
d. Pembezaan (1 – 3 soalan), lazimnya 2 soalan.
e. Janjang (2 – 3 soalan), lazimnya 3 soalan.
f. Vektor (2 soalan).
Beri penekanan kepada bab-bab di atas dalam ulangkaji kerana banyak markah di situ. Rujuk soalan-soalan tahun lepas, buku model SPM dan soalan percubaan semasa membuat ulangkaji.

5. Jangan tinggalkan kosong. Jawab semua soalan sekalipun dengan hanya menulis/menyatakan maklumat yang terdapat dalam soalan, umpamanya menyatakan a = 1, d = 3 atau p = 0.3, q = 0.7, n = 10. Tinggalkan kosong confirm dapat 0, tetapi jika tulis sesuatu peluang untuk dapat markah sudah terbuka.

6. Tetap tunjukkan langkah kerja untuk setiap penyelesaian kerana sekiranya jawapan akhir salah masih ada peluang untuk dapat markah pada langkah penyelesaian.

7. Usahakan anda mendapat sekurang-kurangnya 25/80 markah untuk kertas 1. Peluang lulus anda cerah sekiranya mendapat markah ini.

8. Sekiranya anda mendapat 60 markah ke atas untuk kertas 1, peluang anda mendapat gred cemerlang (A-, A atau A+) sangat cerah🙂

Tips Lulus Kertas 2 :

Untuk lulus, beri fokus kepada bab-bab berikut untuk kertas 2 :

Bahagian A :

a. Persamaan serentak :
Soalan ini 5 – 6 markah. Pastikan anda menjadikan x atau y (atau apa-apa pemboleh ubah lain yang digunakan dalam soalan) sebagai perkara rumus. Sentiasa gunakan kaedah penggantian. Mesti tunjukkan kaedah penyelesaian sama ada guna pemfaktoran atau rumus. Sensitif dengan kehendak soalan. Umpamanya, sekiranya diminta menjawab kepada 3 tempat perpuluhan jawablah kepada 3 tempat perpuluhan dan guna rumus. Sekiranya soalan umum, jawab kepada 4 angka bererti. Semak dengan menggunakan kalkulator.

b. Fungsi trigonometri :
Usahakan untuk melakar graf. Lakaran fungsi trigo sebenarnya agak mudah. Hati-hati dengan julat untuk sudut. Jangan terkurang atau terlebih ketika melakar. Lazimnya akan diminta melakar satu lagi graf dan biasanya graf ini adalah garis lurus. Jangan lupa menyatakan bilangan penyelesaian.

c. Bab-bab lain yang lazim keluar pada bahagian A ialah statistik, pembezaan, janjang, pengamiran dan vektor. Kena ingat, bahagian A wajib jawab semua. Namun untuk lulus, fokus pada bab persamaan serentak dan fungsi trigonometri.

d. Rujuk soalan-soalan tahun lepas, soalan model SPM dan soalan-soalan percubaan untuk melihat bentuk soalan bahagian A ini.

e. Peruntukkan 1 jam untuk menjawab 6 soalan dalam bahagian A ini.  Secara purata, 10 minit satu soalan untuk bahagian A.

Bahagian B :

Beri tumpuan kepada dua bab berikut yang lazimnya keluar dalam kertas 2 :

a. Hukum linear :
Pastikan jadual diisi dengan sekurang-kurangnya 2 tempat perpuluhan. Tuliskan juga persamaan linear yang diperoleh daripada persamaan non-linear. Maka sudah dapat 2 markah mudah. Markah yang lain berpandukan graf yang anda lukis. Lazimnya graf garis lurus penyuaian terbaik sangat mudah dilukis. Semak betul-betul jika ada titik yang terkeluar jauh. Ianya mungkin disebabkan anda tersalah kira atau tersalah plot. Lazimnya ada 6 titik yang perlu diplot. Jangan ada yang tertinggal. Pastikan anda ada menulis “Daripada graf,” untuk mencari nilai pemboleh ubah dalam soalan. Baca graf dengan teliti.

b. Taburan kebarangkalian :
Corak soalan hampir sama setiap tahun. Selalunya dibahagikan kepada dua bahagian, (a) dan (b). Bahagian (a) selalunya taburan binomial manakala bahagian (b) lazimnya taburan normal piawai. Kita sudah banyak membuat latihtubi bab ini.

Seperti bahagian A, peruntukkan 1 jam untuk menjawab bahagian B.  Perlu ingat, anda perlu menjawab 4 daripada 5 soalan pada bahagian ini.  Secara purata, 15 minit satu soalan.

Bahagian C :

Cikgu sarankan pelajar-pelajar cikgu memilih bab nombor indeks dan bab gerakan pada garis lurus. Bab nombor indeks adalah bab yang paling mudah mendapat markah. Bab gerakan pada garis lurus pula adalah bab yang boleh dijawab dengan pantas. Walau pun bab gerakan pada garis lurus memerlukan kemahiran pembezaan dan pengamiran, tetapi pembezaan dan pengamiran di sana dalam bentuk yang begitu mudah saja. Jadikan bab penyelesaian segi tiga sebagai back up. Kita juga sudah banyak membuat latihtubi untuk ketiga-tiga bab ini.

Peruntukkan 30 minit untuk menjawab 2 soalan dari bahagian ini.  Secara purata 15 minit satu soalan.

Pastikan anda meluangkan 30 minit terakhir kertas 2 anda sudah mula bahagian C.  Bahagian ini adalah bahagian yang mudah mendapat markah.

Tips Umum :

a. Jawapan hendaklah kepada 4 angka bererti kecuali soalan menyatakan yang lain.

b. Manfaatkan senarai rumus yang diberi. Sentiasa semak senarai rumus bagi memastikan anda menggunakan rumus yang betul.

c. Gunakan kalkulator untuk menyemak jawapan seperti untuk soalan menyelesaikan persamaan kuadratik dan soalan trigonometri.

d. Soalan trigo yang menyatakan ‘tanpa menggunakan kalkulator’, bermakna anda perlu menggunakan sudut-sudut khas yang melibatkan sudut 30, 60 dan 45 darjah. Lukiskan segi tiga yang berkenaan untuk mendapatkan nilai bagi sudut-sudut ini. Boleh semak jawapan menggunakan kalkulator.

e. Gunakan kalkulator yang ada fungsi untuk menyelesaikan persamaan kuadratik. Jika anda tidak ada kalkulator ini, ikhtiarkan untuk mendapatkan sebuah sebelum peperiksaan bermula.

f. ‘Conteng’ gambar rajah dalam soalan dengan maklumat dan jawapan yang sudah diperoleh. Ini membantu anda memahami soalan dengan lebih baik.

g. Jangan tinggalkan kosong. Tulislah sesuatu sekalipun hanya menulis maklumat dari soalan.

h. Cara terbaik membuat ulangkaji pada saat ini ialah dengan terus membuat soalan-soalan percubaan, soalan-soalan model SPM dan soalan-soalan tahun lepas. Sekiranya anda membuat soalan-soalan tahun lepas, dahulukan dengan soalan-soalan tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011. Soalan-soalan model SPM pula cukup dari sebuah penerbit sahaja dan dibuat set demi set.

i. Sentiasa berdoa minta dipermudahkanNya.

Okey.  Tips akhir sudah diberi.  Sekarang keep fighting till the end😉

.

[youtube:http://www.youtube.com/watch?v=DeectC3i_rI%5D

Posted on November 2, 2013, in Matematik Tambahan. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Salam cikgu. saya hanya tetamu baru di blog ini. Jadi saya nak mintak izin cikgu untuk share video yang cikgu letak tu. Video itu betul2 memberi nasihat yang mengingatkan kita dengan Allah dan berguna.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: