Esok ataukah nanti …

My side stories :

Hari ini perlu turun awal dari biasa kerana perlu menghantar salah seorang anak ke stesen bas sebelum pergi ke sekolah.  Perlu keluar rumah lebih awal dari waktu kebiasaan, 5.40 pagi.  Anak-anak sudah dimaklumkan malam tadi lagi supaya bersiap lebih awal.  Aktiviti persiapan ke sekolah pagi itu memang berjalan pantas dari biasa … mengejar masa.  Dan dalam kepantasan itu, anak-anak masih tidak sempat untuk duduk bersarapan pagi.  Si ibu yang menyedari keadaan bergegas menyediakan bekal untuk anak-anak bersarapan dalam kereta.  Masa perlu dikejar.  Jika tidak, bas akan terlepas, akan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, dan akan lewatlah sampai ke sekolah.

Seperti biasa, sebelum meninggalkan rumah, akan bersalam dengan isteri.  Dan ketika masuk kereta, aku mula memainkan zikir munajat ustaz Dzulkarnain Hamzah dari telefon bimbit ku.  Zikir yang menenangkan jiwa berkumandang memenuhi segala ruang kereta.  Hujan renyai-renyai turut mengiringi perjalanan kami ke sekolah.

Setelah sepuluh minit perjalanan, sambil mulut ku yang terkumat-kamit mengikut rentak zikir ustaz Dzulkarnain, tiba-tiba anak yang duduk di hadapan menjerit ” Baaah (babah), keretaaaaa!”

Aku terkejut bukan kepalang.  Tiba-tiba saja sebuah kereta 4WD membuat pusingan U di hadapan ku.  Sekuat tenaga aku menekan brek, tapi sudah terlambat.  Jarak terlalu hampir.  Kereta ku terus saja menggelongsor dalam cuaca yang masih gelap.

“Allaaaaahu Akbar”.  Satu-satunya kalimah yang tertutur dari lidah ku setelah menyedari rempuhan pasti berlaku. Berlaku perlanggaran, kereta berpusing-pusing, terkeluar dari jalan yang sepatutnya.  Aku sama sekali hilang kawalan sekalipun tangan masih berpaut kuat pada stering kereta.  Dalam suasana yang cemas itu, sepantas kilat juga terlintas di fikiran ku “Berakhirkah kehidupan ku di sini?”  Untuk pertama kalinya aku merasakan kematian tersangat-sangat hampir dengan ku.

Kereta terhenti di luar jalan.  Semua lampu kereta terpadam.  Zikir ustaz Dzulkarnain juga sudah tidak kedengaran.  Tidak kedengaran suara anak-anak.  Tidak kedengaran jeritan anak-anak.  Suasana jadi sunyi sekali …

Suasana sunyi itu mencemaskan ku.  Ku toleh ke kiri, anak di sebelah ku kelihatan bintik-bintik darah di mukanya.  Ku tanya keadaannya, dia kata ok.  Aku mula menoleh ke belakang.  Kelihatan kedua-dua anakku sedang berusaha bangun semula setelah terhumban di dalam kereta.  Ku tanya keadaan mereka, mereka juga kata ok.  Alhamdulillah dan Allahu Akbar!

Aku mula membuka pintu kereta dan ketika itulah anak yang duduk di sebelah ku memberitahu kakinya tersepit.  Aku minta dia cuba gerakkan jari-jari kaki kiri dan kanannya.  Dia kata semua boleh digerakkan.  Lega sedikit di hati.  Aku cuba menolak dashboard yang menyepitnya tapi tidak berdaya.  Dia nampak tenang saja.  Aku cuba mencari telefon bimbit ku.  Mahu menelefon 999 meminta bantuan.  Tapi tak jumpa.  Terpelanting entah ke mana.  Aku kemudian keluar bergegas ke kereta yang satu lagi.  Aku tanya keadaan mereka.  Mereka semua ok.  Tidak ada sebarang kecederaan di sana.  Kereta mereka hanya remuk di bahagian belakang tempat menyimpan barang.

Aku kembali ke kereta ku.  Ketika itu baru aku nampak bagaimana keadaan kereta ku dari luar.  Aku menangis.  Menangis kerana jika melihat keadaan kereta, aku dan anak ku yang duduk di hapadan tak mungkin akan hidup.  Tapi kami masih diberiNya peluang untuk terus bernafas.

Anak ku yang tersepit tadi mula membuat panggilan kecemasan setelah aku gagal mencari handphone ku.  Tak lama kemudian polis trafik sampai, kemudian datang ambulan dan setengah jam kemudian datang bomba.  Masing-masing memainkan peranan dalam memberikan bantuan.

Anak-anak ku di bawa ke Hospital Likas dengan ambulan untuk pemeriksaan dan rawatan kecederaan ringan.  Pihak ambulan juga meminta ku ke hospital.  Aku menolak.  Kesan hentakan di tangan kiri, rusuk kiri dan kaki kiri masih boleh ku tahan.

Ku lihat semula keadaan kereta sebelum ditarik oleh towing car.  Aku jumpa telefon bimbit ku tersepit di bawah roda kereta.  Ku lihat keadaan dalam kereta.  Nasi goreng sarapan pagi anak-anak ku bertaburan di dalam kereta.  Mereka tengah bersarapan dalam kereta ketika kemalangan berlaku.

Telah ditakdirkan kemalangan akan berlalu pada jam 5.50 pagi, 14 Januari 2013.  Telah ditakdirkan kami akan terus diberiNya peluang untuk hidup dari kemalangan ini.  Telah ditakdirkan harta van rusa dipinjamkanNya hanya untuk 10 tahun 11 bulan.  Nyawa terus dipinjamkanNya, harta ditarikNya kembali.

Peristiwa ini memberi pengajaran yang cukup besar buat diri ku.  Nyawa dan harta adalah milikNya.  Dia berhak mengambilnya semula bila-bila masa yang ditetapkanNya.  Maka bernyawalah untukNya dan berhartalah keranaNya.  Anak-anak adalah amanah.  Tunaikanlah amanah sementara masih ada kesempatan dariNya.  Jangan bertangguh membuat kebaikan dan amal soleh kerana peluang untuk itu mungkin tidak ada lagi di masa hadapan.  Jangan bertangguh meminta maaf dan memohon keampunan kerana esok belum tentu ada untuk kita.

Esok ataukah nanti, kehidupan pasti berakhir …..

Jutaan terima kasih kepada rakan-rakan dan para pelajar yang telah mendoakan dan memberikan sokongan moral kepadaku dan anak-anak dalam menghadapi ujianNya ini.

Posted on February 11, 2013, in My Side Stories. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Salam Babah, mau nangis oo Mun baca😥

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: