“Wahai bapaku, bilakah masanya kita benar-benar boleh berehat?”

2 September 2012.

Aku terjaga dari tidur ketika jam menghampiri 3.00 pagi.  “Masih awal”, detik hati ku.  Pusing kanan, pusing kiri.  Mata tak dapat lelap lagi.  Dalam berusaha untuk tidur semula, tiba-tiba aku teringat sabda Rasulullah s.a.w yang mafhumnya :

Allah Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap malam ketika malam berbaki satu pertiga lalu berfirman ; Siapa yang berdoa kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan baginya, sesiapa yang meminta kepadaKu akan Ku berikan kepadanya, sesiapa yang memohon keampunan dariKu nescaya akan Aku ampunkan baginya“. (Hadith sahih Riwayat Bukhari, Muslim, Abi Dawud, Ibn Majah dan Tarmizi).

Aku bingkas bangun menuturkan kalimah taubat, memohon keampunan atas dosa-dosa kelalaian dan keterlanjuran, dan memohon diberikan kekuatan menghadapi cabaran duniawi.  Ketakutan menyelinap diri apabila mula terfikir soalan kematian.  Bekalan di bawa ke alam kekal terasa amat sedikit sekali. Ya Allah, berikan aku kelapangan waktu untuk mengerjakan kebaikan dan amal soleh. Ya, kelapangan waktu perlu dicipta, bukan dicari.

Selesai bersahur untuk puasa sunat Syawal yang terakhir, aku mandi dan solat Subuh. Kemudian aku membaca Al-Quran.  Terasa kerdil diri apabila memikirkan setelah 45 tahun menjalani kehidupan duniawi, aku hanya mampu membaca satu muka surat sehari. Itu pun kadang-kadang ada hari yang terlepas membaca Al-Quran. Sepatutnya kadar bacaan semakin bertambah dengan bertambahnya usia ini.   Sibuk dunia?  Ya, sibuk dunia. Malu. Malu. Malu … Sibuk sampai tak mampu luangkan masa beberapa minit daripada 24 jam sehari untuk membaca Al-Quran?  Sedangkan menurut pandangan ulama amalan sunat yang paling besar ganjarannya adalah membaca Al-Quran. Tahu tapi tak konsisten buat. Malu.

Kemudian aku mula membuat urusan dunia.  Aku mulai dengan meng’iron‘ baju untuk dipakai esok hari.  Sambil menggosok baju, satu-satu urusan dunia yang perlu diselesaikan hari ini terlintas di fikiran ku….:

” 8.45 pergi jumpa Ustaz Ku untuk berubat.  Kemudian singgah kedai perabot untuk beli almari baju sebab almari sekarang sudah tak cukup.  Kemudian kena sediakan report Peperiksaan Pertengahan Tahun tingkatan 3 dan tingkatan 5 untuk dibentang dalam mesyuarat esok.  Tugasan 4 Mutiara perlu diperiksa.  Kedua-dua kereta perlu dicuci.  Tombol pintu bilik air perlu ditukar sebab sudah rosak.  Perlu prepare untuk mengajar esok. Perlu prepare untuk program ProMaT di kelas 4 Aman esok.  Perlu semak kelemahan matematik Farzana seperti yang dijanjikan…”

Sibuk, sibuk, sibuk.  Hari-hari pun sibuk.  Kemudian tiba-tiba teringat aku akan satu kisah benar di zaman dulu :

Seorang anak bernama Abdullah bin Ahmad bertanya kepada bapanya yang merupakan seorang tokoh besar dalam Islam, Imam Ahmad bin Hanbal : “Wahai bapaku, bilakah masanya kita benar-benar boleh berehat?”

Lalu imam Ahmad bin Hanbal memberikan suatu jawapan yang cukup penuh dengan makna : “Kita hanya benar-benar boleh berehat apabila kaki sudah melangkah masuk ke dalam syurga“.

Ya, sesungguhnya dunia bukan tempat untuk kita berehat.

Posted on September 2, 2012, in Umum. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: