Ukhuwah dan Hari Raya

Ini gambar keluarga Raya 2012.  Macam bertemakan ‘Digi’ saja ni …

Di suatu pagi, dua hari sebelum Raya, ketika aku memotong rumput di belakang rumah, tiba-tiba isteri bersuara dari dapur ; “Bang, ada telefon.”  Isteri menunjukkan isyarat ke arah telefon rumah.  Entah macam mana, aku seperti dapat meneka siapa pemanggilnya kerana sehingga saat ini nombor telefon rumah hanya aku berikan kepada keluarga terdekat dan seorang sahabat karib yang juga rakan serumah ku ketika aku belajar di Australia dulu.

Sambil menuju ke arah telefon, aku bertanya isteri : “Dari Nizam kah?” ; merujuk kepada sahabat karib ku itu.  “Agaknya”, jawab isteri ku ringkas.  Jawapan isteri ku menunjukkan dia tidak kenal siapa pemanggil kerana suaranya bukan dari kalangan ahli keluarga.  Aku juga mengagak si pemanggil adalah sahabat karib ku kerana beberapa hari sebelum itu dia ada bertanya nombor telefon rumah melalui handphone, manakala ahli keluarga terdekat pula jarang menghubungi ku melalui telefon rumah.   Kami lebih banyak berhubung menggunakan telefon bimbit.  Dengan kata lain, telefon rumah amat-amat jarang berdering.

Aku memberikan salam kepada si pemanggil.  Sebaik saja salam ku dijawab, aku tersenyum riang kerana aku tahu suara si pemanggil adalah suara sahabat karib ku itu yang sudah lebih 20 tahun kami tak bersua muka.  Bermula dengan pertemuan secara maya melalui facebook, lalu kemudiannya membawa kepada komunikasi melalui telefon ini.  Rancak juga perbualan kami; bertanya khabar dan perkembangan terkini masing-masing.  Maklumlah sudah lama sangat tak berjumpa.  Ketika balik dari Australia dulu, masing-masing membawa diri.  Aku pulang ke Sabah, dia ke utara semenanjung.  20 tahun dulu, belum ada internet dan belum ada telefon bimbit.  Yang ada cuma telefon telekom yang mahal juga kadarnya ketika itu dan surat-menyurat yang perlu dipos di pejabat pos.  Ini adalah antara faktor apabila sudah terpisah akan terus terpisah kecuali bagi yang rajin menulis surat atau bersedia berbelanja lebih sedikit  untuk membuat panggilan telefon. Emmm…..Sekarang, video call pun sudah ada.  Jarak yang jauh sudah menjadi dekat secara relatif.

Kemudian dalam satu insiden yang lain, pada hari raya pertama, jam 9.44 pagi, ketika aku sudah sampai di kampung halaman di Labuan untuk menyambut hari raya bersama ibu dan ahli keluarga yang lain, aku menerima satu sms.  Begini tulisnya (mesej sebenar) : “Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir & batin, saya ada di KK smalam smpai tinggal di mana. Ni dtng jauh2 mau jumpa Rainul & kluarga”.  SMS ini pula datang dari rakan ku ketika aku belajar di sekolah menengah dulu.  Juga merupakan seorang rakan yang rapat dengan ku.  Kami berjiran.  Sama-sama ke sekolah dan sama-sama juga balik dari sekolah.  Terpisah membawa diri masing-masing setelah keputusan SPM 1983 dikeluarkan.

Beberapa bulan lalu dia berjaya menjejak nombor telefon bimbit ku melalui ahli keluarga ku yang kebetulan ditemuinya juga melalui facebook.  Perbualan juga rancak ketika itu dan sekarang ingin bersua muka.  Malang sekali, ketika dia sudah berada di KK datang dari Lahad Datu, aku pula di tempat lain.  Pertemuan tidak menjadi.  Namun insyaAllah, moga-moga ruang dan peluang pertemuan itu masih dibuka oleh Allah s.w.t.

Dua insiden ini benar-benar menyentuh hati ku.  Dalam kesibukan bekerja dan urusan keluarga, masih ada ingatan dan usaha-usaha untuk mempertautkan semula ukhuwah dan persahabatan.  Yang di utara semenanjung meluangkan masa menelefon ke Sabah, yang di Lahad Datu turun ke KK untuk bersua muka.  Usaha yang sekali pandang mungkin nampak kecil, tetapi hakikatnya mempunyai impak dan makna yang cukup besar apabila  meneliti dan merenung pengajaran daripada hadith qudsi :

Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah s.w.t. berfirman:

Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku (Allah), orang yang saling berbelanja membelanja kerana Aku (Allah), orang yang saling berhubungan kerana Aku (Allah), mereka semua berhak mendapat kasih sayangKu (Allah) ” (Riwayat Ahmad).

Terima kasih sahabat-sahabat ku atas usaha kalian.  Terima kasih juga kepada pelajar-pelajar dan bekas-bekas pelajar yang datang, yang menyatakan mahu berkunjung semata-mata mahu berjumpa ku semula, yang semata-mata mahu bertanya khabar ku dan menyatakan semata-mata mahu berjabat tangan dengan ku.

Kunjungan raya daripada sanak-saudara kumpulan’Celcom’ di Labuan, hehe.

Kunjungan raya pelajar 2012 di KK

Kunjungan raya bekas pelajar 2010

Kunjungan raya bekas pelajar 2006

Jutaan terima kasih atas ingatan kalian semua.  Jutaan maaf atas keterlanjuran kata dan tingkah. Mohon doakan kebaikan dan kesejahteraan untuk ku di sini.

Posted on August 28, 2012, in Umum. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: