Semalam …

Semalam, seawal jam 4.00 pagi telefon bimbit berbunyi menandakan ada sms masuk.  Aku buka.  Dari ibu yang berada di Labuan rupanya.  Ibu kata : “Selamat hari jadi, semoga panjang umur dan murah rezeki.” Aku kata : “Tq.  Tua sudah ni, 45 tahun.”  Ibu balas lagi : “Maaf, hadiah nanti-nanti baru bagi.”  Aku tak balas, namun hatiku berkata : “Aku sudah tak perlukan hadiah lagi, mak.  Aku sudah puas dengan hadiah.”  Rasa cukup teruja ucapan pertama datang dari ibu tersayang yang sudah dimamah usia.

Tak lama kemudian, isteri terjaga dari tidur.  Ucapan pertama dari isteri kepada ku : “Happy birthday, bang.”  Aku sekadar tersenyum.

Kemudian anak-anak yang sedang bersiap untuk ke sekolah juga mengucapkan selamat ulang tahun.  Semuanya ku balas dengan senyuman.  Anak-anak yang berada di Semenanjung juga mula menelefon dan menghantar sms memberi ucap selamat.

Sepanjang hari, satu demi satu sms masuk, semuanya memberi ucap selamat.  Ada yang datang dari rakan sekerja, tetapi yang lebih memeranjatkan kebanyakkannya datang dari bekas-bekas pelajar.  Ada bekas pelajar 2011, bekas pelajar 2010, bekas pelajar 2009, bekas pelajar 2008 sehinggalah bekas pelajar 2006.  Aku hairan bagaimana mereka masih berminat menyimpan nombor telefon bimbit ku dan merekodkan tarikh lahir ku.

Sempat aku tanya bekas pelajar 2006 itu kenapa dia menyimpan tarikh lahir ku.  Jawabnya ringkas :  “Sebab cikgu adalah cikgu tersayang.”  Terharu.

Sebenarnya aku tak pernah ambil tahu apa perasaan dan persepsi pelajar terhadap ku.  Sama ada pelajar suka atau sebaliknya terhadap ku, bukan persoalan penting pada ku.  Satu-satunya yang penting bagi ku hanyalah memastikan pelajar-pelajar ku mendapat keputusan yang mereka idamkan dalam peperiksaan SPM mereka.  Itu saja perkara penting yang sentiasa bermain di fikiran ku setiap kali aku masuk mengajar dalam mana-mana kelas, kerana aku tahu perkara yang paling menggembirakan dalam kehidupan seorang pelajar ialah apabila ia mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan sebenar.  Aku mahu pastikan para pelajar ku gembira dengan keputusan mereka.

Menjangkau usia hampir separuh abad, bermakna sudah hampir separuh abad jugalah kehidupan dunia ini dilalui.  Jika menurut kebiasaan, kehidupan dunia ku mungkin sekitar 20 tahun saja lagi, malah mungkin jauh kurang daripada itu.  Kehidupan pasti berakhir.  Dan dalam merenung sisa kehidupan dunia yang masih tinggal ini, bukan hadiah yang ku pinta melainkan …. :

” Ya Allah, permudahkan dan berkatilah urusan ku pada hari ini dan hari-hari yang mendatang.  Berikanlah taufiq dan hidayah Mu kepada ku dalam menempuh kehidupan dunia ini.  Dan sekiranya Engkau matikan daku kemudian nanti, matikanlah daku sebagai orang yang beriman dan orang soleh, dan jadikanlah pusara ku salah satu dari taman-taman syurga Mu.”

Posted on March 10, 2012, in Umum. Bookmark the permalink. Comments Off on Semalam ….

Comments are closed.

%d bloggers like this: