The Monday Blues – The Routine

Isnin, 7 September 2009. Seperti biasa, 5.45 pagi mula bertolak dari rumah ke sekolah.  Hari ini memilih untuk memakai kemeja biru, satu warna yang lazimnya tidak aku pakai pada hari Isnin.  Sebaik tiba di sekolah, terus ke pejabat sekolah untuk merakamkan waktu kehadiran.  Dan kemudian terus ke bilik pengawas untuk mengurus beberapa borang di sana.  Seperti biasa, elektrik tak ada di bilik pengawas😦 .  Sius utama selalu tertendang.  Setiap hari tertendang.  Dan suis utama pula bertempat di bilik lain yang berkunci.  Bukan di bilik pengawas.

Perhimpunan mingguan hari Isnin.  Kali ini tidak dihadiri oleh kelas-kelas yang sedang menghadapi peperiksaan percubaan (Excel) – kelas tingkatan 3, 5 dan 6.  Aku tidak risau kerana tahu pengawas perdana tingkatan 1, 2 dan 4 akan mampu mengendalikan perhimpunan.  Namun tiga orang pengawas perdana tingkatan lima tetap turun membantu sebelum peperiksaan mereka bermula, memastikan pengawas perdana dalam keadaan teratur.  Terima kasih.

8.15 – 9.35 pagi, mengawas peperiksaan di kelas 5 Makmur.  Peperiksaan Matematik Kertas 1.  Cukup suka apabila waktu mengawas adalah waktu kertas Matematik atau Matematik Tambahan🙂. Kelihatan seperti majoriti pelajar 5 Makmur tiada masalah dengan Matematik Kertas 1.

Jam 10.20 pagi, masuk salah satu kelas pra-U 1.  Melaksanakan p&p seperti biasa.  Cuma kali ini tajuknya agak sukar sedikit.  Melibatkan langkah kerja pembuktian dan memang ramai pelajar tak minat dengan soalan pembuktian.  Tiga soalan diberi sebagai latihan dalam kelas, tetapi gagal disiapkan.  Soalan dilihat mengelirukan. Beri peluang kepada pelajar untuk terus mencuba di rumah sebelum dibincangkan pada hari Rabu.

Selesai kelas, berjumpa dengan salah seorang pentadbir sekolah, memaklumkan secara rasmi hasrat untuk mengundur diri daripada tugas sebagai ketua guru pengawas untuk tahun hadapan.  Alasan diberi.  Bukan sebab tak sayangkan pengawas, malah terlalu sayang.  Tetapi aku juga perlu merancang sesuatu untuk masa depanku selain menerima apa yang dirancangkan untukku oleh organisasi sekolah ini.  Tiada keputusan muktamad dicapai.  Permohonan akan dibincangkan, dimesyuaratkan.

Jam 12.05 tengah hari, masuk salah satu kelas pra-U lagi.  Ubah strategi pengajaran untuk kelas ini.  Minta pelajar menyelesaikan kerja rumah yang lalu di papan tulis.  Setiap seorang perlu keluar ke hadapan.  Oleh kerana ini adalah waktu terakhir, aku tak benarkan pelajar pulang selagi kerja rumah terdahulu belum dihantar.  Kerja rumah tu tak banyak, sepatutnya sudah siap dibuat waktu hujung minggu lagi.  Semua hantar, walaupun ada yang mengambil masa 10 minit lebih daripada waktu pulang untuk menyiapkan dan menghantar.  Berkesan.

1.30 petang, ke bilik peperiksaan mengambil kertas jawapan pelajar untuk Excel Matematik T Kertas 1.  Ambil saja, tak mahu tengok dulu.  Berdebar. 

Selesai solat zohor di sekolah, terus ke SK Sri Gaya mengambil anak dan kemudian balik ke rumah.  Tiba di  rumah hampir jam 3.00 petang.  Rasa terlalu letih hari ini.  Puasa juga terasa lebih mencabar daripada biasa – terlalu haus.

Mula merebahkan diri di atas katil sambil membelek-belek kertas Excel Matematik T Kertas 1.  Cuma melihat sepintas lalu jawapan pelajar untuk 5-6 soalan awal.  Soalan-soalan awal adalah yang senang.  Soalan 9 – 12 memang selalu mencabar.  Selesai melihat jawapan untuk beberapa orang pelajar, mula menghela nafas panjang.  Ada pelajar yang meninggalkan soalan 2.  Ada yang meninggalkan soalan 3.  Soalan-soalan yang pada pandanganku tak sepatutnya ditinggalkan.  Sepatutnya boleh buat.  Tapi kenapa tak boleh buat? Apa yang terjadi?  Termenung.  Berfikir.  Apa yang silap? Di mana yang silap?  Jawapan tak ada kepastian.  Terlelap seketika.

Hampir jam 4.15 petang terjaga kembali.  Mengarahkan anak-anak bersedia untuk solat asar berjemaah.

Selesai solat, membaca beberapa ayat Al-Quran.  Ada juga anak yang membaca Al-Quran.  Yang lain akan membaca pada waktu kesesuaian masing-masing.  Seperti lazimnya.  Ada membaca lepas subuh.  Ada membaca lepas asar.  Ada membaca lepas maghrib. Anak-anak memang dididik untuk membaca Al-Quran setiap hari.  Mesti baca beberapa ayat sehari.  Tak banyak, cuma beberapa ayat.  Ikut kemampuan. Membaca memberi ketenangan dan kekuatan jiwa.  Untuk kebaikan diri sendiri jua.

Selepas membaca Al-Quran, cuba masuk ke blog sendiri.  Blog kena masuk setiap hari kerana ada ruang You Ask I Answer yang perlu diberi perhatian.  Takut-takut ada pelajar yang bertanya soalan.  Soalan perlu dijawab sesegera yang mungkin.  Tapi petang ini tak dapat connect.  Tukar broadband yang kedua.  Selang seminit dua, connection terputus-putus dan terlalu perlahan.  Tak jadi memasuki blog. 

Tiba waktu berbuka.  Tak lalu makan nasi.  Isteri ada memasak mee kari atas permintaan salah seorang anak.  Minuman- cendol.  Menu yang tak berapa baik untuk berbuka – kari dan santan.  Perut mungkin akan meragam.  Tahu, tapi tetap makan dan minum jua.  Mee kari memang antara makanan kegemaran bagi keluarga ini.  Lebih-lebih lagi mee kari yang isteri masak sendiri.  Ramuannya lengkap.

Waktu malam, setelah selesai apa yang perlu dan sepatutnya dibuat, mula meminta anak membuat sedikit latihan Matematik.  Esok UPSR – subjek Bahasa Malaysia dan Matematik Kertas 2.  Anak membuat 5 kesilapan daripada 20 soalan.  3 daripada kesilapan itu kerana kecuaian.  2 lagi masalah konsep.  Semua kesilapan dijelaskan, diterangkan agar tidak diulangi pada hari esok.  Anak kemudiannya diminta tidur awal.  Minda perlu tenang untuk hari esok.

Aku pula membuat keputusan untuk tidur lebih awal.  Jam menunjukkan hampir 10.30 malam.  Tidur awal untuk bangun lebih awal.  Alhamdulillah, bangun awal – 2.30 pagi.  Buat persiapan mengajar untuk hari ini, hari Selasa.  Dan masuk blog sekejap untuk melihat kalau-kalau ada soalan yang perlu dijawab.

Dan kemudian, perkara yang hampir sama akan berulang untuk hari ini, hari Selasa.  Juga akan berulang untuk hari esok, hari Rabu.  Dan begitulah seterusnya.  Putaran kehidupan yang hampir rutin.  Ke sekolah, masuk kelas, mengajar, mengurus pengawas, mengurus pelajar, balik rumah, mengurus keluarga, mengurus diri, mengurus itu, mengurus ini dan lain-lain. Tak berubah kecuali kita memutuskan untuk mengubahnya – keluar daripada aktiviti rutin dan mencari rutin yang baru.  Atau mencari pendekatan baru dalam melaksanakan yang rutin. Pilihan di tangan sendiri.  Hari ini mungkin memilih yang ini.  Mungkin lima tahun daripada sekarang, memilih yang itu pula.  Perlu difikir seranum-ranumnya.  Namun yang pasti, ada rutin yang perlu dibuat hingga ke akhir hayat, yang kerananya kehidupan berlaku.

[Home]

Posted on September 8, 2009, in Umum. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: